Tuesday, December 24, 2013

Aurat, Bertudung Sudah Cukup?

Assalamualaikum...

Share dari facebook Majalah Anis. Moga bermanfaat untuk wanita muslimah semua.
In shaa Allah....

BERTUDUNG SUDAH DIKIRA SEMPURNA MENUTUP AURAT? 

Memakai tudung adalah salah satu kemestian untuk melengkapkan diri menutup aurat. namu begitu, menutup rambut dengan tudung semata-mata bukan bermakna seseorang Muslimah itu lebih sempurna menutup aurat. Lebih-lebih lagi jika tudung tidak menutup bahagian dada kerana ukurannya yang singkat.

Ramai wanita yang bertudung atas paras dada dan mempamerkan aksesori yang berada di dada pakaian, sedangkan pada kawasan itu terletaknya aset yang wajib diselindungi seperti mana yang di tegaskan oleh Allah S.W.T dalam surah al-Ahzab ayat 59.

Apabila Allah menurunkan hukum menutup aurat, ia didatangkan sebagai satu pakej berdasarkan apa yang hendak dicapai melalui penutupan aurat itu sendiri, iaitu agar maruah diri wanita terpelihara, tidak mudah diganggu dan dipandang mulia di sisi manusia dan Allah. 

Oleh itu cara bertudung dan berpakaian perlu dipakejkan dengan beberapa perkara agar ia benar-benar mengangkat nilai harga diri seorang wanita. Nilai harga diri ini terletak pada aspek-aspek berikut: 

• Menutup apa yang patut ditutup. Tudung perlu labuh bawah paras dada. Sekiranya tudung singkat, ia perlu dipalisi sehelai selendang atau yang seumpamanya supaya dapat melindungi kawasan dada dan lekuk-lekuk badan.

• Menutup dengan sempurna iaitu pakaian tidak jarang, singkat, ketat dan sebagainya.

• Sopan dan sejuk mata memandang, pemilihan pakaian yang longgar. Seluar panjang atau kain yang longgar mendamaikan hati memandang.

• Kesempurnaan pakaian bersyariat mesti dilengkapi dengan baik tingkah laku, berlemah-lembut namun berwibawa dengan penampilan yang cergas.

Islam bukanlah agama jumud yang menghalang wanita berfesyen, hanya apabila tudung itu 'lulus syariat' dan dipakejkan dengan aspek-aspek di atas, barulah ia benar-benar melengkapkan tuntutan menutup aurat yang Allah kehendaki.


~Dari Catatan Editor Majalah Anis, bil. 167

No comments:

Post a Comment